Skip to main content

Mengembalikan Izzah islam

Mengembalikan Izzah Islam Dan Melindungi Martabat Umat*

oleh Profesor Dr ABDUL AZIZ BARI **

Tema kongres ini begitu besar dan sebenarnya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Apalagi mengingat bahawa masalah umat yang kita hadapi hari ini bukanlah sesuatu yang dapat diselesaikan dengan slogan dan retorik semata-mata. Selain itu kita juga perlu memastikan apakah sebenar punca kepada masalah-masalah yang dihadapi itu. Kita harus sedar bahawa sekalipun kita mungkin dapat mengenalpasti punca masalah-masalah itu kita tidak mempunyai wewenang atau autoriti untuk menangani masalah-masalah yang ada. Apa pun sekurang-kurangnya biarlah sejarah negara ini satu hari nanti menyedari bahawa pada penghujung 1427/2006 ini sekumpulan pemikir dan penggerak umat di Malaysia telah duduk berbincang dan menyatakan rasa prihatin mereka terhadap kedudukan dan masalah umat ini.

Mungkin kenyataan yang paling menggemparkan kita sejak beberapa tahun kebelakangan ini ialah masalah murtad yang kelihatannya begitu kronik. Meskipun statistik murtad yang diremeh dan dinafikan oleh pihak berwajib apa yang jelas ialah bahawa mereka tidak memberikan sebarang angka rasmi. Apa yang dilakukan selama ini hanyalah sekadar menafikan gejala ini; sesuatu yang agak jelas menunjukkan rasa gelisah mereka sebagai pihak yang memegang amanah kepemimpinan umat. Sikap sedemikian agak jelas menunjukkan rasa gelisah dan malu mereka berhadapan dengan masalah tersebut.

Dalam pada itu kita juga sedar bahawa ada masalah lain yang turut menimbulkan kekeliruan; bangsa kita dikepung oleh pelbagai masalah seperti ketagihan dadah dan arak, perjudian dan keruntuhan moral; baik di kalangan remaja maupun golongan yang lebih tua. Sementara itu gejala mat rempit, buli dan masalah-masalah disiplin lainnya di sekolah menandakan bahawa banyak inisiatif yang perlu difikir dan dimulakan sebelum masalah-masalah ini menjadi lebih parah.

Tidak cukup dengan itu itu timbul pula beberapa kekeliruan; ini termasuk slogan-slogan yang keliru dan mengelirukan seperti bangsa Malaysia. Agak jelas bahawa slogan-slogan seperti ini dikemukakan tanpa mengambilkira kedudukan Islam yang menunjangi segenap kehidupan umat Islam; dari definisi hingga ke soal-soal yang rutin seperti makanan, pakaian dan seumpamanya. Dan kedudukan ini telah pun dipahatkan di dalam sistem perlembagaan negara sebagaimana yang tersebut di dalam Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan; sesuatu yang tidak boleh dipinda tanpa perkenan Majlis Raja-Raja.

Sudah tentulah bahawa masalah yang kita hadapi memerlukan lebih dari hanya soal peraturan dan undang-undang. Tetapi oleh kerana faktor ini mendasari dan melengkongi kehidupan kita kita tidak dapat mengelak dari membicarakannya. Selain itu kita juga sudah sampai ke tahap yang kronik dan ini memerlukan ubat yang dalam konteks kehidupan kita sekarang ialah undang-undang.

Mungkin boleh dikemukakan sebagai satu tesis bahawa masalah yang kita hadapi hari ini berpunca dari kealpaan dan kegagalan kita sendiri: kegagalan kita mengisi dan memunafaatkan ruang-ruang yang sedia ada di dalam kerangka perlembagaan dan perundangan kita. Dan, yang menjadi anih dan ironinya ialah, pihak yang berwajib sendiri turut terlibat menyulitkan pelaksanaan undang-undang yang sedia ada. Kontroversi yang timbul ekoran tangkapan yang dibuat oleh pihak penguatkuasa terhadap tindakan liar anak-anak muda di sebuah disko di Kuala Lumpur tahun lalu adalah satu contoh yang masih belum kita lupa. Perlu ditekankan bahawa selain sesuatu yang berpunca dari kedudukan Islam di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan kita undang-undang mengenai moral terkandung di dalam pelbagai enakmen jenayah syariah di negeri-negeri. Dan undang-undang ini mempunyai akar dan punca di dalam perlembagaan: lihat Jadual Kesembilan, Senarai Negeri. Sebab itu pelaksanaan ‘undang-undang moral’ ini tidak boleh dikatakan sebagai ‘gejala Taliban’ di negara kita. Dengan kata lain apa yang dikatakan sebagai moral policing itu sebenarnya adalah kehendak undang-undang.

Malangnya kepemimpinan negara dan parti pemerintah semacam tidak memahami keadaan ini dan menjadi jaguh kepada suara-suara yang menentang dan mempersoalkan apa yang mereka lihat sebagai gejala ekstrem dan moral policing tadi. Kita tidak berniat untuk menjadikan forum dan kesempatan dua hari ini sebagai medan untuk mencari salah dan menuding jari. Tetapi di dalam sebuah masyarakat kita tidak dapat lari dari membicarakan kepemimpinan dan pengarahan. Baik dalam konteks Islam atau demokrasi pertanggungjawaban dan soal-soal masyarakat memang tidak dapat dipisahkan dari menilai dan mengkritik mereka yang memegang kuasa.

Berbalik kepada pelaksanaan undang-undang moral tadi menarik untuk diperhatikan betapa label dan momokan yang disebutkan tadi tidak pula timbul apabila pelaksanaan undang-undang yang sama dibuat di bawah undang-undang lain seperti Kanun Keseksaan di mahkamah sivil. Begitu juga dengan undang-undang mengenai kesopanan awam yang dibuat oleh pihak-pihak berkuasa tempatan. Kita juga berasa anih kerana tatkala mereka begitu gelisah dengan penguatkuasaan undang-undang agama mereka bercakap hendak menjenayahkan kesalahan bahasa.

Apa yang boleh kita katakana di sini ialah berbezanya dengan layanan yang diberikan terhadap agensi-agensi agama yang terkandung di dalamnya mahkamah syariah, jabatan agama, pegawai penguatkuasa dan seumpamanya. Selain kerajaan pihak media juga bersalah dalam soal ini.

Dari sudut perlembagaan sikap pihak pemerintah sebenarnya sukar difahami kerana ia sebenarnya bertentangan dengan kehendak undang-undang. Di sisi perlembagaan kerajaan sepatutnya membantu dan mempertahankan agensi pelaksana dan bukan menyulitkan kerja-kerja mereka. Inilah intisari kepada apa yang dikatakan sebagai responsible government dalam mana-mana sistem Westminster.

Perlu diperingatkan bahawa kedudukan Islam, yang sebenarnya terbatas ini, bukan sesuatu yang baru: peruntukan-peruntukan yang ada sekarang telah wujud sejak 1957 lagi. Kedudukan Islam adalah sebahagian daripada apa yang kadangkala dipanggil sebagai kontrak sosial antara kaum di negara ini.

Membahaskan kedudukan agama di dalam sistem yang ada hari ini tidak dapat lari menyinggung kedudukan Raja-Raja sebagai ketua agama. Di sisi undang-undang kedudukan ini penting kerana Raja-Raja boleh bertindak tanpa nasihat kerajaan. Kedudukan kerajaan di sini tidak berbeza dengan kedudukan penasihat British meskipun ia bukanlah sesuatu yang diwarisi dari perjanjian-perjanjian yang bermula di Pulau Pangkor pada 1874 itu. Adalah tidak benar tanggapan umum yang menganggap bahawa kedudukan Raja-Raja telah terhakis dengan krisis perlembagaan pada 1983 dan 1993.

Sudah pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana dengan keadaan agama, termasuk masjid-masjid dan sebagainya, yang dikawal sepenuhnya oleh kerajaan? Begitu juga dengan institusi fatwa yang kredibilitinya sering dipertikaikan kerana ia lebih sering memihak kepada pihak pemerintah.

Jawapan kepada soalan-soalan itu rasanya tidak berbeza dengan apa yang dikatakan di atas tadi: kegagalan pihak yang berkenaan menjalankan tugas mereka. Perlu dinyatakan bahawa undang-undang, termasuk perlemnbagaan sekadar memberi asas. Selebihnya terpulang kepada pihak-pihak yang diberikan kuasa untuk menjalankannya. Perlembagaan, sebagaimana undang-undang yang lain juga, bukanlah magis yang dapat memberikan hasil tanpa komitmen dari penguasa dan sokongan rakyat.

Kepemimpinan politik mempunyai peranan yang berbeza dari rakyat biasa termasuk pertubuhan-pertubuhan kerajaan. Mereka perlu mengambil langkah yang sesuai; mereka tidak harus hanya menyalak untuk menarik perhatian dan kemudian tidak berbuat apa-apa. Apa yang perlu mereka lakukan ialah mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah. Membuat bising dan desakan ialah kerja dan pendekatan NGO; bukan mereka yang memegang kuasa.

Meskipun kerajaan tidak mempunyai kuasa dalam soal agama pihak eksekutif tetap mempunyai pengaruh yang besar. Ini terbukti dalam kes Rayappan baru-baru ini. Begitu juga dengan kontroversi dan kekeliruan berhubung dengan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan awal tahun ini. Dalam kes itu pihak kerajaan gagal menunjukkan kepemimpinan dan ketegasan; ada tanda-tanda bahawa para pemimpin kerajaan tidak faham kedudukan di dalam perlembagaan. Setelah pihak-pihak NGO mengadakan perhimpunan di Masjid Wilayah Persekutuan pada akhir Julai lalu barulah pihak kepemimpinan negara kelihatan faham kedudukan yang sebenar.

Selain kedudukan Raja-Raja dan peranan kerajaan, kedudukan dan peranan mahkamah juga perlu disinggung kerana ini turut menjadi punca kepada masalah yang dihadapi sekarang. Meskipun hal-hal agama terjatuh di bawah bidang kuasa mahkamah syariah mahkamah sivil juga perlu mempastikan bahawa hakim-hakim memahami prinsip-prinsip Islam. Ini kerana di dalam praktisnya tidak mudah untuk memisahkan apa yang bersifat agama dan sebaliknya. Selain itu mahkamah – baik mahkamah sivil atau syariah – adalah platform untuk melaksanakan keadilan. Dalam konteks Malaysia di mana agama masih menunjangi kehidupan nilai-nilai agama tidak dapat dipisahkan dari kehidupan harian. Dengan kata lain pendekatan ini perlu sekiranya keadilan hendak dicapai.

Satu contoh yang dapat menunjukkan betapa mahkamah sivil perlu memainkan peranan untuk mempastikan keadilan ialah tafsiran kepada Perkara 11 mengenai hak kebebasan beragama. Dalam sebuah masyarakat seperti Malaysia keadilan tidak dapat dicapai jika hakim-hakim tidak memahami prinsip-prinsip Islam. Sebagaimana yang kita telah lihat dalam banyak kes seperti Jamaluddin bin Othman (1989), Hajjah Halimatussaadiah (1994) dan Meor Atiqulrahman (2006) mahkamah gagal melaksanakan keadilan kerana prinsip Islam – yang tidak dihalang oleh perlembagaan sendiri – tidak diikuti meskipun di dalam kes-kes itu prinsip Islam menjadi isu utama.

Sehingga hari ini mahkamah masih belum memberi kata putus tentang soal murtad sedangkan perlembagaan sebenarnya telah memberikan ruang untuk tafsiran yang mesra Islam. Adalah malang apabila murtad dianggap sebagai hak sedangkan ia adalah satu jenayah di sisi undang-undang Malaysia.

Kita menyeru supaya pihak berwajib telus dan saksama. Ini termasuk badan-badan yang bertanggung jawab seperti JAKIM dan seumpamanya. Sebenarnya jika sikap sedemikian ditunjukkan rakyat akan memberikan kerjasama. Masalah yang kita hadapi sekarang terlalu besar untuk diserahkan kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab sahaja. ia memerlukan gemblengan tenaga semua pihak. Bagaimanapun kerjasama ini tidak akan timbul jika pihak berkuasa berdolak dalik dan tidak menunjukkan komitmen yang sepatututnya sebagaimana yang kelihatan dalam penganjuran kongres ini.

Sebagaimana yang telah disuarakan oleh banyak pihak kita menyeru supaya ruang untuk bersuara diperbesar dan dijamin. Ini merupakan insuran terbaik; pihak berkuasa jelas tidak dapat menangani masalah. Dalam soal ini pihak polis seharusnya memahami peranan mereka dan melaksanakan kuasa yang ada menurut landasan itu. Kita tidak perlu mengingatkan bahawa kebebasan adalah milik rakyat. Baik di sisi Islam maupun demokrasi moden hak ini adalah hak rakyat; ia bukan hadiah pemerintah. Malangnya ini tidak difahami; bukan sahaja oleh kerajaan tetapi juga oleh para hakim kita. Dan ini sebenarnya bertentangan dengan perisytiharan bahawa perlembagaan adalah undang-undang utama negara.

Kepada umat kita harus sedar bahawa pendidikan dan dakwah perlu diperhebatkan. Seperti yang telah dibayangkan di atas undang-undang bukanlah cara yang terbaik. Ia sekadar meregulisasi dan mengawal keadaan.

Di dalam negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia kita perlu menjelaskan bahawa umat Islam tidak meminta lebih; mereka hanya mahukan agar hak mereka untuk hidup sebagai individu dan masyarakat Islam dihormati. Malangnya, sebagaimana yang kelihatan dalam kontroversi mengenai peraturan mengenai pakaian di sebuah negeri di semenanjung bar-baru ini, ini masih tidak difahami. Sebagai golongan terbesar dan penduduk asal negara ini umat Islam berhak untuk meminta masyarakat bukan Islam memahami agama dan peraturan hidup mereka. Sekali lagi pihak yang berwajib gagal kerana mereka hanya berminat untuk mengadakan sambutan dan pesta yang dangkal makna dan landasannya.

Dalam keadaan sebegitu masyarakat Islam perlu memperkasakan diri mereka. Dan Islam sebenarnya telah menyediakan prasarana yang berkaitan; infaq, institusi zakat dan seumpamanya harus digunakan dengan sepenuhnya supaya mereka tidak lagi menunggu ihsan sesiapa. Begitu juga dengan institusi masjid.

Adalah diharapkan bahawa kongres ini dapat memberi semua yang hadir kesempatan untuk bertukar-tukar fikiran dan memulakan perjalanan yang saya kira panjang dan sukar. Mudah-mudahan Allah s.w.t. berkenan melimpahkan Hidayah dan InayahNya.
————————————————————–
*Kertas pada Kongres Umat Islam SeMalaysia pada 2 Dhulhijjah 1425 bersamaan dengan 23 Disember 2006 di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

**Profesor Dr ABDUL AZIZ BARI ialah pensyarah di Kuliah Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau boleh dihubungi melalui emel aabari@iiu.edu.my atau bariaziz@yahoo.com.

Comments

Popular posts from this blog

Tempat Menarik Pulau Pinang : Pulau Jerejak

Pulau Jerejak Penang 📍 Location: Pulau Jerejak, Penang 📍 Masa: 6.30 pagi - 12.00 malam 📍 Harga tiket online: RM20 per person (pergi dan balik) http://jerejak.trip4asia.com First waze Jeti Pulau Jerejak. Jeti ni berdekatan Queensbay Mall. Tiket bot boleh beli online RM20 ataupun walk-in counter RM22. Perjalanan bot dari jeti ke pulau ni lebih kurang 10 minit.

Percutian Menarik Negeri Sembilan

Assalamualaikum.... Jom bercuti di  De Valda Chalet terletak di Lot 104B KM10, Jalan Pantai 71050, Si Rusa Port Dickson, Negeri Sembilan.  Mempunyai 3 unit chalet jenis studio reka bentuk unik dari Bali, Indonesia. Rasai kelainannya bila ada berada di sini.  *Kemudahan Chalet 😗 ❤ Bilik Aster ❤ Bilik Daisy ❤ Bilik Oleander * 1 x Katil saiz Queen * 1 x extra folding mattress (single size) * Penghawa Dingin * Bilik air dengan pemanas mandian, * Bar Fridge, Kettle, television with Astro channel, sofa, pengering rambut, seterika,  * Kolam renang. * Outdoor kitchen * Kemudahan untuk ber BBQ * Kain Sejadah untuk solat  * Tuala mandian Penginapan luas dan selesa. harga berpatutan dan sangat berpuas hati. Kolam mandi yang sangat terbaik. boleh tunjuk skill renang kalau pi mandi dekat sini. Suasana malam yang menenangkan jiwa. Tempat percutian yang sangat dicadangkan kepada sesiapa yang berminat dengan suasana hutan yang me...

Penginapan Di Pantai Merdeka

Chinta Chalet Pantai Merdeka Untuk lebih detail boleh follow page di laman fb di bawah:https://www.facebook.com/Chinta-Chalet-Pantai-Merdeka-2387597364606327/?ti=as atau call +6019-2400932 Pakej Bilik yg ada di Chinta Chalet Total ada 10 bilik keluasan  bilik(25x17) +Bilik Duluxe (Ada 4 Unit bilik) +Rm180* semalam +1 katil king 1 katil single +Bilik Super Duluxe( Ada 6 Unit bilik) +Rm200* semalam +2 katil king Kemudahan yang ada  _Di Dalam bilik_  *smart tv ( siaran Njoy ) *kettle *peti sejuk mini(bukan sejuk beku) *penyaman udara  *kipas syiling *meja tulis *meja makan (3 kerusi)  _Di Dalam Bilik Air_  *Water-Heater *Sabun Mandi *~Tuala Mandi~ Tidak Disediakan Bilik cantik kebiru-biruan. mengembalikan kenangan malam pertama perkahwinan. Bilik luas dan memang puas hati, kalau keluarga besar boleh bawak toto.  +Kolam mandi +untuk kanak-kanak 3 kaki +Dewasa 4.5 kaki makan aiskri...